KUALA LUMPUR: Kumpulan pembinaan dan hartanah, Gagasan Nadi Cergas Bhd mendapat kelulusan pemegang saham untuk mengambil alih 69.4 peratus kepentingan ekuiti dalam Konsortium PAE Sepakat Sdn Bhd (KPSSB), syarikat pemegang konsesi yang bertanggungjawab menguruskan asrama pelajar di tujuh kampus politeknik.
KPSSB kini 55.6 peratus dimiliki oleh Seri Delima Anggun Sdn Bhd (SDASB), manakala baki 44.4 peratus kepentingan ekuiti dipegang oleh Serata Ehsan Sdn Bhd (SESB) melalui anak syarikat milik penuhnya, PAE Builders Sdn Bhd.
Cadangan pengambilalihan sebanyak RM127.3 juta memerlukan Gagasan Nadi Cergas memperoleh 100 peratus SESB dan 45 peratus kepentingan dalam SDASB, memberikan kepentingan kawalan berkesan kumpulan sebanyak 69.4 peratus.
Urus niaga itu mendapat kelulusan daripada Unit Kerjasama Awam Swasta Jabatan Perdana Menteri (UKAS) pada September.
Pengarah Urusan Kumpulan Gagasan Nadi Cergas, Datuk Wan Azman Wan Kamal, berkata cabang pengurusan konsesi dan kemudahan kekal sebagai salah satu pemacu prestasi syarikat itu yang paling boleh dipercayai.
Malah, katanya, ia juga memberikan pendapatan berulang yang konsisten dan mengukuhkan kekuatan model perniagaan yang pelbagai.
“Pengambilalihan KPSSB mewakili pengembangan ketara segmen ini, membawa masuk portfolio konsesi yang mantap yang akan meningkatkan hasil berulang kami melalui penjanaan tunai jangka panjang yang stabil.
“Sementara itu, penubuhan kemudahan Sukuk Wakalah baru-baru ini adalah inisiatif strategik yang akan menyokong pemerolehan Gagagsan Nadi Cergas bagi konsesi pengurusan kemudahan utama sambil mengoptimumkan kos pembiayaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Kumpulan itu melalui anak syarikat milik penuhnya, GNCB Capital Sdn Bhd telah mewujudkan kemudahan Sukuk Wakalah untuk membiayai sebahagian pengambilalihan.
Terbitan itu akan memberikan kumpulan fleksibiliti untuk mengumpul dana melalui terbitan Sukuk Wakalah sehingga RM330 juta dalam nilai nominal.
Maybank Islamic Bhd memberikan komitmen untuk melanggan sepenuhnya sukuk tidak mempunyai penarafan sehingga jumlah yang akan diterbitkan oleh kumpulan.
Pengambilalihan strategik KPSSB akan meningkatkan pendapatan kepada kumpulan, menambah RM155.2 juta kepada buku pesanan pengurusan fasilitinya sepanjang tempoh konsesi.
Urus niaga itu juga akan memberikan keuntungan pembelian murah sebanyak RM33.2 juta dan menjana pendapatan tahunan tambahan daripada pertambahan nilai saksama berjumlah RM19 juta, sebelum kos kewangan.
KPSSB memeterai perjanjian konsesi dengan Kerajaan Malaysia pada 2013 untuk membangunkan dan menyelenggara asrama pelajar di kampus di Banting, Ipoh, Port Dickson, Johor Bahru, Seberang Prai, Jeli dan Kota Bahru sehingga 2036.
Maybank Investment Bank Bhd ialah penasihat utama bagi cadangan pengambilalihan.
© 2025 Nadi Cergas Development. All Rights Reserved.